Tuesday 11 September 2012

TakBiraTul IhRam Tanpa SUARA



Adakah sah solat seseorang itu yang bertakbiratul ihram tanpa suara dan tanpa gerakan mulut, tetapi disertakan niat? Setahu saya, semasa takbir kita hendaklah melafazkan takbir sekurang-kurangnya didengari oleh telinga sendiri. Harap ustaz jelaskan.

Jawapan; salah satu syarat sah takbiratulihram adalah dengan menguatkan suara, sekadar didengari telinga sendiri. Seandainya bertakbiratulihram hanya dengan niat tanpa didengarinya, maka tidak sah solat.
Sebenarnya ada 16 syarat sah takbiratulihram seperti yang terkandung dalam kitab Nail al-Raja’ syarah kepada Safinah al-Najat hlm. 87 seperti berikut;

1. berdiri ketika solat fardhu jika mampu. Tidak wajib berdiri semasa solat sunat, boleh duduk. Tidak wajib berdiri apabila tidak mampu seperti terlalu uzur.
2. dilafazkan dalam bahasa Arab kalimah الله اكبر
3. diucapkan dengan lafaz jalalah (الله)
4. dan lafaz اكبر. Jika diucapkan kalimah seperti الرحمن اكبر atau الله اعظم maka tidak sah.
5. ucapkan mengikut tertib dalam dua lafaz tersebut  iaitu mendahulukan lafaz الله ke atas اكبر (tidak sah jika melafazkan اكبر الله )
6. tidak memanjangkan hamzah pada lafaz jalalah. Apabila dipanjangkannya maka tidak sah, contohnya الله اكبر terkecuali memanjangkan huruf lam, contohnya “Allaaaahu Akbar”.
7. tidak memanjangkan huruf ba pada kalimat اكبر. Jika dipanjangkan menjadi اكبار maka tidak sah.
8. tidak membaca dengan qalqalah pada huruf kaf اكبر seolah-olah berbunyi “akkebar”.
9. tidak menambahkan huruf (و) antara dua lafaz sama ada mematikan atau membariskan huruf wau, sekiranya dilakukan juga maka tidak sah takbirnya.
10. tidak menambahkan wau pada kalimat jalalah seperti والله اكبر.
11. tidak memutuskan antara dua kalimat kecuali dengan tujuan bernafas atau tidak sengaja.
12. hendaklah didengar sendiri setiap huruf dalam takbir.
13. masuk waktu bagi solat yang terikat dengan waktu. Tidak sah takbiratulihram apabila seseorang itu niat solat Zohor misalnya, lalu ia takbiratulihram sebelum masuk waktu Zohor atau solat sunat yang terikat waktu, misalnya solat Duha atau solat sunat qabliyah yang lain.
14. bertakbiratulihram dalam keadaan menghadap kiblat.
15. tidak meninggalkan satu huruf pun dalam ucapan takbiratulihram. Dimaafkan bagi orang jahil dan mereka yang belum memahami cara solat yang betul.
16. tidak mendahului atau menyamai takbiratulihram imam. Apabila ia mendahului, menyamai atau bersamaan dengan imam maka tidak sah solatnya.

Nie ana ambil dari :

Solusi isu 17
Ustaz Fadzli al-Yamani
Untuk menghubungi Ustaz Fadzli: 019-3838730





Monday 10 September 2012

Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang


Surah az-Zumar ayat 53-60

53 : Katakanlah, "Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! janganlah kamu berputus asa terhadap rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.

54 : Dan kembalilah kamu kepada Tuhanmu, dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu, kemudian kamu tidak dapat ditolong.

55 : Dan ikutilah sebaik-baiknya apa yang telah diturunkan kepadamu (al-Quran) dari Tuhanmu sebelum datang azab kepadamu secara mendadak, sedang kamu tidak menyedarinya,

56 : agar jangan ada orang yang mengatakan: " Alangkah besar penyesalanku atas kelalaianku dalam menunaikan (kewajipan) terhadap Allah, dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang memperolokkan (agama Allah)",

57 : atau (agar jangan) ada yang berkata. '"Sekiranya Allah memberi petunjuk kepadaku tentulah aku termasuk orang-orang yang bertaqwa,

58 : atau (agar jangan) ada yang berkata ketika melihat azab, "sekiranya aku dapat kembali ke dunia, tentu aku termasuk orang-orang yang berbuat baik."

59: Sungguh, sebenarnya keterangan-keteranganKu telah datang kepadamu, tetapi kamu mendustakannya, malah kamu menyombongkan diri dan termasuk orang kafir.

60 : Dan pada Hari Kiamat engkau akan melihat orang-orang yang berbuat dusta terhadap Allah, wajahnya menghitam. Bukankah neraka Jahanam itu tempat tinggal bagi orang yang menyombongkan diri?

*SUBHANALLAH...

MARI BERSIDANG DI MAHKAMAH HATI


Sering diperingatkan bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Tidak ada ketenangan dan kebahagiaan dalam melakukan dosa. Jika adapun hanya sementara , kemudian rasa gelisah itu akan datang lagi dengan lebih menggigit. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi berdosa kepada Allah.

Orang yang berdosa ialah orang yang bersalah. Orang bersalah perlu diadili di mahkamah. Mahkamah pengadilan ada tiga. Pertama, mahkamah dunia, yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia. Acap kali, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia diperdaya. Justeru, sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula dihukum. Lalu, masyurlah kata orang yang bijaksana bahawa tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini.

Mahkamah kedua ialah mahkamah akhirat, yang hakimnya ialah Allah Yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar pasti menang, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau sepandai mana sekalipun bersilat kata. Saksi dan bukti sangat autentik dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Apa yang ada pada diri akan “hidup” untuk menjadi saksi dan pendakwa. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan menjadi saksi.

Mahkamah ketiga ialah mahkamah hati. Saksi, pendakwa dan hakim adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa berkata benar walau cuba dinafikan dan dipendamkan oleh tuannya. Protes hati kecil ini terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke lembah sakit jiwa yang menyesakkan.

Ya, dosa boleh disembunyikan dan dinafikan di hadapan manusia, tetapi, mana mungkin disembunyikan daripada Allah dan diri sendiri. Kita mampu menipu manusia, tetapi kita tidak mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi, bagaimana kita boleh menafikan kesalahan dan dosa apabila diadili di mahkamah hati? Setiap masa, setiap ketika dan pada setiap suasana, hati kecil akan bersuara. Ia tidak tega dengan kesalahan. Ia tidak rela dengan kemungkaran.

Dosa itu sangat memberi kesan kepada hati. Apabila kita berdosa, hakikatnya kita melakukan dua “perlanggaran”. Pertama, perlanggaran atas fitrah hati yang secara tabiinya bersifat baik. Kedua, perlanggaran terhadap hak Allah, Zat Yang Maha Tinggi. Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan.

Jangan dilawan fitrah hati yang menyukai kebaikan  dan membenci kejahatan. Fitrah ini kurniaan Allah, yang dengannya manusia boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah yang sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu diabaikan apatah lagi dinafikan, tunggulah penderitaan dan kesempitan!

 Rasulullah saw sangat arif tentang hakikat ini. Justeru, apabila baginda ditanya, apakah itu dosa? Baginda menjawab : “ dosa ialah sesuatu yang membuatkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya.”

Oleh sebab itu, awaslah wahai setiap diri kerana dosa itu umpama racun. Bahananya akan merosakkan diri secara perlahan-lahan atau mendadak. Nikmatnya hanya seketika sedangkan dosanya berkekalan dan akibat buruknya panjang.

Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri, apakah hidup kita diredhai? Berapa banyak dosa yang telah kita lakukan? insyaAllah hati itu tidak akan berdusta. Di samping Allah yang mengetahui siapa kita, kita juga sendiri tahu siapa kita yang sebenarnya. Jadi, janganlah berpura-pura. Siapa yang cuba kita tipu? Allah? Manusia? Atau diri kita sendiri?

:: sama-sama melakukan perubahan diri dan sama2 berubah demi mencari reda Allah::
 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...