Monday, 10 September 2012

MARI BERSIDANG DI MAHKAMAH HATI


Sering diperingatkan bahawa dosa itu sesuatu yang meresahkan. Tidak ada ketenangan dan kebahagiaan dalam melakukan dosa. Jika adapun hanya sementara , kemudian rasa gelisah itu akan datang lagi dengan lebih menggigit. Rasa bersalah itu sangat menyeksa selagi tidak ditebus dengan maaf dan taubat. Bersalah dengan manusia pun sudah cukup meresahkan, apatah lagi berdosa kepada Allah.

Orang yang berdosa ialah orang yang bersalah. Orang bersalah perlu diadili di mahkamah. Mahkamah pengadilan ada tiga. Pertama, mahkamah dunia, yang mana saksi, pendakwa dan hakimnya adalah manusia. Acap kali, dengan kebijaksanaan dan kelicikan, mahkamah dunia diperdaya. Justeru, sering kali yang bersalah terlepas, sebaliknya yang benar pula dihukum. Lalu, masyurlah kata orang yang bijaksana bahawa tidak ada keadilan yang mutlak di dunia ini.

Mahkamah kedua ialah mahkamah akhirat, yang hakimnya ialah Allah Yang Maha Adil. Di sana nanti, yang benar pasti menang, yang salah pasti kalah. Akan ketara segalanya walau sepandai mana sekalipun bersilat kata. Saksi dan bukti sangat autentik dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Apa yang ada pada diri akan “hidup” untuk menjadi saksi dan pendakwa. Kulit, tangan, kaki dan segala anggota akan menjadi saksi.

Mahkamah ketiga ialah mahkamah hati. Saksi, pendakwa dan hakim adalah hati sendiri. Hati kecil yang sentiasa berkata benar walau cuba dinafikan dan dipendamkan oleh tuannya. Protes hati kecil ini terhadap perlakuan dosa sentiasa bergema dalam rahsia. Fitrahnya akan menjerit. Itulah jeritan batin yang mampu menghantar pemiliknya ke lembah sakit jiwa yang menyesakkan.

Ya, dosa boleh disembunyikan dan dinafikan di hadapan manusia, tetapi, mana mungkin disembunyikan daripada Allah dan diri sendiri. Kita mampu menipu manusia, tetapi kita tidak mampu menipu Allah dan diri sendiri. Jadi, bagaimana kita boleh menafikan kesalahan dan dosa apabila diadili di mahkamah hati? Setiap masa, setiap ketika dan pada setiap suasana, hati kecil akan bersuara. Ia tidak tega dengan kesalahan. Ia tidak rela dengan kemungkaran.

Dosa itu sangat memberi kesan kepada hati. Apabila kita berdosa, hakikatnya kita melakukan dua “perlanggaran”. Pertama, perlanggaran atas fitrah hati yang secara tabiinya bersifat baik. Kedua, perlanggaran terhadap hak Allah, Zat Yang Maha Tinggi. Dua perlanggaran ini sudah cukup meragut ketenangan.

Jangan dilawan fitrah hati yang menyukai kebaikan  dan membenci kejahatan. Fitrah ini kurniaan Allah, yang dengannya manusia boleh menerima pengajaran dan didikan. Jika fitrah yang sukakan kebaikan itu disubur, dididik dan dipimpin, maka jalan hidup akan harmoni dan bahagia. Sebaliknya, jika fitrah yang baik itu diabaikan apatah lagi dinafikan, tunggulah penderitaan dan kesempitan!

 Rasulullah saw sangat arif tentang hakikat ini. Justeru, apabila baginda ditanya, apakah itu dosa? Baginda menjawab : “ dosa ialah sesuatu yang membuatkan hati kamu resah dan kamu tidak suka orang lain melihat kamu melakukannya.”

Oleh sebab itu, awaslah wahai setiap diri kerana dosa itu umpama racun. Bahananya akan merosakkan diri secara perlahan-lahan atau mendadak. Nikmatnya hanya seketika sedangkan dosanya berkekalan dan akibat buruknya panjang.

Justeru, sering-seringlah bersidang di mahkamah hati. Selalulah bertanyakan hati kecil sendiri, apakah hidup kita diredhai? Berapa banyak dosa yang telah kita lakukan? insyaAllah hati itu tidak akan berdusta. Di samping Allah yang mengetahui siapa kita, kita juga sendiri tahu siapa kita yang sebenarnya. Jadi, janganlah berpura-pura. Siapa yang cuba kita tipu? Allah? Manusia? Atau diri kita sendiri?

:: sama-sama melakukan perubahan diri dan sama2 berubah demi mencari reda Allah::
 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...